Monday, November 25, 2013

Isu tanah terbiar

AGAKNYA ramai rakyat negara ini kini sudah lali dan tidak peduli sangat dengan isu tanah terbiar. Lama sebelum inipun, kita pernah dimaklumkan oleh pihak-pihak berkenaan bahawa jumlah tanah terbiar di seluruh negara memang besar - dianggar melebihi 1 juta ekar.
Masalahnya, walaupun perkara ini telah banyak kali disebut-sebut oleh pelbagai pihak (termasuklah oleh pucuk pimpinan di peringkat negeri dan di peringkat kebangsaan), masalah ini masih lagi di tahap dulu. Ia belum dapat diatasi secara berkesan atau berterusan hinggalah sekarang.
Minggu lalu, akhbar ini ada menyiarkan berita (lihat Utusan Malaysia 10 Februari) bahawa kerajaan negeri Johor telah mengenal pasti sebanyak 13,000 hektar tanah terbiar tanpa diusahakan oleh pemiliknya di seluruh negeri itu. Daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 hektar sebagai di daerah Muar. Sebagai anak Muar, saya tidak terperanjat dengan pendedahan terbaru yang dibuat oleh Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor, Ghani juga asalnya orang Muar, hanya kini beliau ada rumah rasmi di Johor Baharu.
Berita itu selanjutnya memetik Ghani sebagai berkata jika pemilik tanah terbiar itu gagal mengusahakan tanahnya dalam tempoh tiga tahun (dari dulu atau sekarang?) kerajaan negeri ''akan mengambil semula tanah berkenaan''.

Sebagai langkah persediaan untuk ''mengambil semula'' (maksudnya merampas balik) tanah bermilik itu, Ghani mengatakan bahawa setelah mengenal pasti keluasan dan lokasi tanah-tanah terbiar itu, kerajaannya kini ''sedang mengesan pemilik tanah yang terlibat''.
Disebabkan negara kita mengamalkan sistem Torrens sejak dulu (di mana segala-galanya direkod dalam daftar), kerja ''mengesan pemilik berdaftar'' tanah terlibat bukan sesuatu yang susah. Kecuali sekiranya tanah pusaka yang telah turun-temurun beberapa kali atau lapis, dan waris-waris berkenaan tidak mengambil daya usaha untuk menguruskan penurunan harta pusaka itu di pejabat tanah berkenaan.

Bagaimanapun, nampaknya tindakan merampas tanah terbiar di Johor ini bukan sesuatu yang akan dilakukan sekarang. Ghani menyatakan bahawa sebagai ''langkah awal'', semua penghulu-penghulu di negeri itu telah dikerah untuk menghantar surat kepada pemilik tanah terbiar itu, ''mengajak'' mereka untuk mengusahakan tanah mereka itu dengan tanaman makanan. Menurut Ghani, pemilik tanah diberi pilihan sama ada untuk mengusahakan tanah mereka sendiri ataupun membenarkan pihak lain mengusahakan - sama ada dengan cara disewa kepada pengusaha tersebut atau dengan cara usahasama (apa yang kini digelar ''perkongsian pintar'').
Ghani menambah bahawa di peringkat awal ini, tindakan akan dilaksanakan hanya terhadap pemilik tanah yang mempunyai tanah seluas 25 hektar atau lebih. Ini bermakna sebahagian besar tanah-tanah di kampung dan desa akan ''terselamat'' buat sementara waktu, kerana purata keluasan tanah kampung di daerah Muar hanya sekitar tiga atau empat ekar.

Sementara ia memberi amaran bahawa peruntukan undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa negeri ''mengambil semula'' (maksudnya ''merampas'') tanah terbiar ''memang ada'' sejak dulu lagi, Ghani masih lagi menekankan bahawa kerajaan negeri ''tidak mahu memaksa'' rakyat untuk memajukan tanah mereka, tetapi hanya ''mengajak'' mereka ''dalam suasana suka sama suka''.
Tanpa menafikan bona fide niat kerajaan negeri Johor dalam usaha terbarunya menangani isu tanah terbiar di negeri itu mengikut cara dan pendekatan ''suka sama suka'' yang dipakainya sekarang, saya khuatir masalah tanah terbiar di Johor ini akan dapat diatasi secara berkesan dalam masa beberapa tahun akan datang.
Pada hemat saya, berasaskan pengalaman dan penelitian lampau, tanpa keseriusan dan ketegasan jentera pihak berkuasa negeri, masalah ini akan tidak dapat diatasi.

Apa yang rakyat dapat rasakan selama ini ialah bahawa pihak berkuasa negeri (di kebanyakan negeri, jika semua) tidak begitu serius dalam menangani masalah tanah terbiar ini. Jika adapun negeri yang telah mampu bertindak secara serius atau tegas di masa yang lampau, ia tidak lama dan belum konsisten.
Pada hemat saya, andainya seksyen 115, 116 dan 117 Kanun Tanah Negara 1965 dapat dikuatkuasakan sepenuhnya oleh semua pihak berkuasa negeri, tanah terbiar tidak akan wujud di negara ini.
Tanah terbiar wujud sebegini lama di kalangan kita kerana pihak berkuasa negeri tidak (atau gagal) menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. Tak tahulah saya sama ada ketiadaan atau kegagalan menguatkuasakan undang-undang yang ada ini merupakan satu dasar yang sengaja diamalkan, atau disebabkan kurang minat, kurang kecekapan atau kekurangan alat jentera kerajaan itu sendiri.
Di bawah Kanun Tanah Negara (KTN), membiarkan tanah tanpa diusahakan, dibangun atau dimajukan dalam tempoh-tempoh yang ditetapkan (disebutkan secara terperinci dalam seksyen 115, 116 dan 117 tadi) adalah satu kesalahan. Sekiranya kesalahan ini terus tidak diperbetulkan (setelah pemilik diberi notis mengenainya oleh pihak berkuasa negeri), ada peruntukan lain dalam KTN yang membolehkan pihak berkuasa negeri merampas tanah tersebut.

Sehubungan itu, disebabkan penalti rampasan ini adalah sesuatu yang amat serius sekali, KTN telah dipinda (sebanyak dua kali sebelum ini) untuk memberi alternatif lain kepada pihak berkuasa negeri.
Alternatif pertama, tanah yang terbiar itu boleh diambil buat sementara waktu oleh pihak berkuasa negeri untuk diusaha dan dipulihkan sendiri oleh pihak berkuasa negeri.
Alternatif kedua, tanah yang terbiar itu boleh diambil buat sementara waktu oleh pihak berkuasa negeri untuk diusaha dan dipulihkan oleh pihak lain (menerusi penswataan). Setelah sempurna dibaik pulih dan diusahakan, tanah itu boleh dikembalikan kepada pemilik asal tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan.
Malangnya, kedua-dua pindaan yang dibuat pada KTN itu tadi mendatangkan hasil yang dihajatkan. Apabila saya tanya pihak-pihak berkenaan kenapa alternatif-alternatif yang diwujudkan oleh pindaan-pindaan itu tidak dapat dilaksanakan, jawapan yang saya terima ialah ''jentera kerajaan yang perlu belum lagi dapat diwujudkan''.

Disebabkan kelemahan-kelemahan yang disebutkan di atas tadi, kita kini masih terpaksa berdepan dengna masalah tanah terbiar. Punca masalah ini bukan ketiadaan undang-undang, tetapi ketiadaan political will menguatkuasakan undang-undang.
Ekoran dari kegawatan ekonomi yang melanda negara, kini nampaknya pemimpin-pemimpin kita berminat (atau merasa terpanggil) untuk melihat semula masalah tanah terbiar ini dari satu perspektif yang baru. Walau apapun sebabnya yang mendorong mereka berbuat demikian, kita doakan kali ini minat atau iltizam baru mereka untuk menagangani masalah ini dapat membuahkan sesuatu yang berkekalan.
Hendaknya, bila tiba alaf baru nanti, tidak lagi ada tanah terbiar di negara kita.
Oleh: SALLEH BUANG


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz2leTAQlUB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment